18 October 2008

Himpunan keunikan amalan adat Perpatih

Oleh: AINOL AMRIZ ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

PEPATAH `biar mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal adat Perpatih di Negeri Sembilan. Malah adat yang datang ke negeri ini sejak abad ke-15 dari Minangkabau secara bergelombang, mula terasa bahang empayarnya selepas abad ke-17.
Penghijrah Minangkabau yang pada awalnya memilih untuk menetap di kawasan pedalaman berikutan suasana alam yang sama di Negeri Sembilan, turut melabuhkan noktah di situ selepas cuba bersembunyi daripada serangan lanun pantai.
Selepas itu, dengan termeterainya satu perjanjian bersama atau loghat Negeri Sembilan - pepauh antara Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang dengan Datuk Ketemenggongan, maka satu perdamaian tercetus di mana kawasan laut diserahkan kepada Datuk Ketemenggongan, manakala kawasan darat dipunyai oleh Datuk Perpatih.
Maka sehingga hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.
Inilah antara keunikan adat Perpatih yang cuba ditonjolkan pada Pesta Persukuan Adat Perpatih 2001 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Mei ini di Dewan Baru Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Persoalannya, sejauh mana masyarakat negara ini memahami tentang adat Perpatih?
Adat Perpatih merupakan suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.
Sebagai satu cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah langsung.
Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi.
Sistem sosial tersebut mengandungi sistem nilai, sistem kekeluargaan, sistem politik dan sistem hukum adat yang lengkap.
Oleh yang demikian, sistem adat Perpatih terdapat sistem perut dan suku. `Perut' adalah unit terkecil di dalam sistem adat Perpatih dan beberapa `Perut' lain akan membentuk `Suku'. Tiap-tiap `Perut' akan diikuti seorang `Buapak', sementara setiap `Suku' diketuai oleh seorang `Lembaga'.
Selain itu dalam sistem politik adat Perpatih terdapat juga jawatan Undang yang menerajui Luak.
Satu lagi keunikan yang cuba ditonjolkan pada pesta berkenaan ialah kehebatan sistem harta pusaka di mana barang peninggalan itu dianggap pusaka seperti rumah, tanah, barang kemas dan lain-lain yang hanya boleh diwarisi oleh anak perempuan sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Kecil Seminar, Pameran dan Bahasa Bicara, Ismail Abdul Hadi berkata, sempena pesta tiga hari itu, satu seminar berkaitan adat Perpatih akan diadakan pada hari ini (Jumaat), yang mana antara lain membincangkan dengan panjang lebar berhubung adat Perpatih.
Menurutnya, seminar itu akan dihadiri kira-kira 500 peserta yang terdiri daripada Datuk Lembaga, Buapak, Besar Waris, Ibu Soko, guru dan pelajar.
Dalam pertemuan itu nanti pembicara, Datuk Penghulu Simulie dari Minangkabau, H. Kamardi Rais cuba membawa pengamatan terhadap adat perkahwinan melalui adat Perpatih secara holistik.
Di samping itu juga, seorang bekas Profesor Madya dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Norhalim Ibrahim yang banyak mengkaji sejarah adat di Negeri Sembilan akan meleraikan tugasan dan peranan Buapak, Semenda, Tempat Semenda, Waris Soko dalam masyarakat adat.
Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya Kumbuh, Seri Lemak, Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek, Seri Melenggeng dan Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan dua lagi dari Anak Melaka.
Sementara itu, pada seminar dan Pesta Persukuan Adat Perpatih ini juga, perkisahan sosiobudaya Negeri Sembilan akan ditonjolkan menerusi masakan, minuman, budaya, tarian dan alatan permainan tradisional. Antaranya termasuklah masakan lemak cili api, nyanyian lagu Bongai (bermaksud seorang yang dihormati dan dikasihi) dan tarian lagu Chaklempong serta Tumbuk Kalang.
Sebuah buku bertajuk Setitis Tinta Abadi yang bahannya merupakan pengumpulan skrip Pesta Adat Perpatih sejak dua tahun lalu akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Buku berkenaan ditulis oleh Setiausaha Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Ismail Abdul Hadi, Setiausaha Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan, Mohammad Tainu dan Datuk Lembaga Luak Ulu Muar, Datuk Khalid Bonget.
Anak Negeri Sembilan, khususnya dan pengkaji sejarah adat Perpatih juga akan cuba dibawa ke zaman silam dengan menyaksikan pameran purba yang memperlihatkan peralatan seperti lokar (almari), gopong (bekas air), kongkong (dapur), beliung, pelurut (alat melerai mengkuang) dan sebagainya. Pesta Persukuan Adat Perpatih memberikan keunikan kepada pengamalnya serta ketakjuban kepada yang melihatnya. PAUTAN

ADAT PERPATIH

Sejarah kedatangan adat perpatih ke N.sembilan adalah berkait rapat dengan kedatangan peneroka-peneroka orang-orang Minangkabau kerana penyerapan adat itu ke dalam masyarakat di sini adalah selaras dengan kedatangan mereka.Penduduk N.Sembilan kebanyakan mereka berasal dari Tanah Minangkabau di Sumatera Barat. Apabila mereka berhijrah ke negeri ini, mereka membawa bersama-sama cara hidup dan warisan kebudayaan yang diamalkan di negeri asal mereka.

N.Sembilan adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan sistem adat perpatih atau dikenali juga sebagai sistem matrilineal, di mana keturunan seseorang itu disusurgalurkan mengikut sebelah ibu(nisab ibu). Adat perpatih dapat dianggap sebagai satu kawalan sosial dan merupakan satu sistem kekerabatan yang amat liberal dan menyeluruh. Justeru itu, terdapat beberapa konsep dalam adat ini yang menunjukkan hubungan kekrabatan seperti jurai, perut, suku dan sebagainya.


Walau bagaimanapun, dari segi asal-usul adat ini, pada hari ini masyarakat N.Sembilan pada teorinya terpecah kepada 12 kumpulan yang dipanggil suku. Suku adalah merupakan kesatuan yang pada zaman awal berbentuk pengwilayahan yang diberi nama-nama tertentu iaitu:- (1.) Suku Biduanda/Waris (2.) Suku Batu Hampar (3.) Suku Paya Kumbuh (4.) Suku Mungkal (5.) Suku Tiga Nenek (6.) Suku Seri Melenggang (7.) Suku Seri Lemak (8.) Suku Batu Belang (9.) Suku Tanah Datar (10.) Suku Tiga Batu (11.) Suku Anak Aceh (12.) Suku Anak Melaka

Dari segi pentadbiran, adat perpatih adalah adat yang meliputi keseluruhan kehidupan ahlinya. Jadi, disamping mengaturkan kehidupan sosioekonominya, ia juga mempunyai sistem tadbir politik yang tersendiri. Untuk tujuan ini perbilangan adat mengatakan:
Alam beraja Luak berpenghulu Suku bertua Anak buah berbuapak Orang Semenda tempat semenda Dagang berpantun Perahu bertambatan
Ini bermaksud bahawa tiap-tiap luak atau daerah mempunyai seorang ketua atau pemerintah tertentu yang bergelar PENGHULU atau sekarang ini UNDANG. Jawatan undang ini digilirkan di kalangan ahli dalam suku biduanda atau waris.
Dalam sistem adat perpatih penduduk-penduduk dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Kumpulan yang paling asas ialh kumpulan yang dinamakan PERUT.Anggota kumpulan ini terdiri dari keturunan nenek yang satu. Ketua perut ialah seorang lelaki yang dinamakan ibu bapa.Kumpulan yang besar daripada perut dinamakan suku iaitu terdiri daripada perut-perut yang ada tali persaudaraannya. Kedudukan suku adalah di bawah lembaga yang dipilih daripada ahli perut. Pemilihannya adalah mengikut giliran yang telah ditentukan. Di atas lembaga ialah undang, dipanggil Datuk Undang.
Adat ini dilaksanakan hampir sepenuhnya dalam berbagai-bagai aspek kehidupan dalam masyarakat iaitu penentuan pentadbiran, pembahagian kuasa politik, pembahagian dan urusan tanah pusaka, penyusunan prinsip nikah kahwin dan sebagainya. Sebagai suatu peraturan hidup yang berdasarkan kepada kepentingan bersama bergotong royong dan demokrasi, adat ini sentiasa dipertahankan keutuhan dan kewibawaannya.
Keturunan dalam adat perpatih adalah menerusi pihak perempuan.Menurut adat seseorang anak adalah masuk pihak ibunya dan dia dianggap tidak ada pertalian dengan suku bapanya. Adat ini amat besar pengaruhnya dalam kehidupan masyarakat yang berkenaan. Menurut hukum syarak seseorang itu boleh berkahwin dengan anak perempuan kakak atau adik ibunya. Tetapi perkahwinan semacam ini adalah dianggap sumbang pada sisi adat perpatih. Bagi mereka,anggota-anggota dalam satu suku semuanya dikira sangat rapat persaudaraannya iaitu disifatkan sebagai suatu keluarga besar. Sehubungan dengan ini masyarakat adat perpatih di anak lebih rapat lagi perhubungannya dengan bapa saudara sebelah ibu daripada bapa saudara sebelah bapanya.


Sumber:Kerajaan Negeri Sembilan

17 October 2008

Assalamualaikum

Selamat Datang ke portal Keluarga Kawal.

Anak ikan dimakan ikan,
Gadang ditabek anak tenggiri,
Ameh bukan perakpun bukan,
Budi saketek rang haragoi.

Nan kuriak iyolah kundi,
Nan merah iyolah sago,
Nan baiak iyolah budi,
Nn indah iyolah baso.